Labels

Sunday, 3 May 2015

Situasi

Aku terpinga-pinga. Tatkala aku membuka mata dari lena aku tadi, aku hanya melihat kemusnahan di sana sini. Dinding rumahku sudah tiada. Yang ada hanya katil aku ditengah-tengah bangunan yang sudah roboh dengan keadaan sekeliling amat mengerikan pemandangan.

Langit kelabu. Tanda hujan lebat bakal menyusul di selang-seli petir sabung-menyabung. Dari situ aku lihat manusia, bukan, mungkin mereka telah bertukar menjadi mutant berdasarkan rupa mereka yang aku lihat.

Ya, aku lihat mereka sedang berbalah antara satu sama lain. Lebih menakutkan, sebenarnya mereka saling berbunuhan antara satu sama lain. Mereka tidak menggunakan senjata, tetapi mereka menggunakan minda dengan bantuan akan entah capaian jaring sosial apakah yang memang sial tapi diperlukan. Aku sendiri tidak mengerti. Dunia apakah yang sedang aku lihat ini?

Fitnah, bukan, bunuh.. aku rasa itu sedang berleluasa dengan amat dahsyat sekali.. dan aku hanya melihat.. ketakutan.. adakah aku turut terlibat dalam dunia ini? Allah, selamatkan aku..

Imanisasi manusia lemah, kerana itu mereka tidak dapat menahan diri dari menjadi mutant ini apabila terkena virus globalisasi. Imanisasi aku sendiri aku tidak tahu di tahap mana. Moga Allah melindungi aku dari terjadi mutant seperti mereka.

Dunia berada di ambang kiamat. Akhir zaman itu telah tiba. Bila mana kau nampak Islam itu kembali dagang. Kau juga akan nampak mutant itu ada yang tertipu menyangka mereka kebal dengan imanisasi tapi hakikat syaitan telah menyuntik venom melalui vaksin imanisasi tersebut. Allah, aku risau aku tergolong dalam kalangan mereka.. bantu aku Ya Allah..

Satu perkataan dari seekor mutant mampu membuat amuk sekelompok mutant yang kemudian mereka sesama sendiri saling berbunuhan. Aku tidak nampak mana rasionalnya malapetaka ini datang. Akan tetapi aku melihat perkara bodoh ini berlaku dengan enteng sekali.

Kita sedang dipijak oleh satu kuasa yang dengan rakusnya menyebarkan virus ini tatkala imanisasi manusia lemah dan dengan mudah menukar mereka kepada yakjuj dan makjuj tanpa perlu kau mencari di mana mereka.

Maaf, aku katakan kau sedang mati manusia. Kau sedang mati padahal kau hidup. Dan aku, hanya anak kecil yang sedang melihat perkara ini dalam ketakutan. Hanya mampu berdoa memohon Allah menyelamatkan aku dari lembah ini.

No comments:

Post a Comment